Trip Houseboat di Belum Temengor – 8 Aktiviti Yang Anda Mesti Cuba

Kompleks Hutan Tropika Belum-Temengor merupakan kompleks hutan yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Bahagian utara kawasan ini adalah Royal Belum yang berkongsi sempadan dengan Thailand, manakala ke sebelah selatan pula ialah ‘Temengor Forest Reserve’ atau juga dikenali sebagai Lower Belum.

Kompleks hutan yang berkeluasan lebih 300,000 hektar ini adalah empat kali lebih besar daripada Singapura. Kompleks hutan ini telah wujud sejak 130 juta tahun dahulu, menjadikannya salah satu hutan tropika tertua di dunia dan dikatakan lebih tua daripada hutan Amazon di Brazil dan Congo di Afrika!

Kembara Houseboat

Saya memilih untuk berkongsi pengalaman saya menaiki ‘houseboat’ memandangkan pakej ini adalah antara pakej yang merangkumi kesemua aktiviti-aktiviti yang ditawarkan oleh pihak Belum Rainforest Resort. Pakej 2 hari 1 Malam yang berharga RM6,400 untuk 14 orang ini merangkumi :-

  1. Penginapan;
  2. Makan dan minum dan barbeque;
  3. Aktiviti-aktiviti rekreasi (kayak, jungle trekking, lawatan ke perkampungan orang asli, wildlife spotting, memancing serta lain-lain aktiviti yang bersesuaian dengan lokasi, harga yang dipersetujui dan juga masa (boleh ‘custom made’ akitiviti…. ada duit semua jadi);

Untuk trip ini, perjalanan ke Lower Belum kami bermula dari Jeti Belum Rainforest Resort pada jam 2.30 petang. Selesai makan tengahari saya dan rakan-rakan terus bersiap untuk ke jeti resort di mana ‘houseboat’ telah siap sedia untuk memulakan perjalanan.

Anda tak perlu risau tentang keselamatan kerana krew-krew yang bertugas sentiasa ada bersama anda sepanjang 3 hari 2 malam. Untuk keselamatan, kami dikehendaki memakai jaket keselamatan untuk sebarang aktiviti-aktiviti air.

Kami pun meneruskan perjalanan ke Hutan Tropika Belum di mana ‘houseboat’ ini berlabuh di satu lokasi di mana kami bermalam di atas ‘houseboat’.

Houseboat 2 tingkat ini mempunyai 4 buah bilik yang terletak di tingkat satu houseboat :-

  1. 1 X Bilik untuk 2 orang dengan 1 katil queen beserta 1 bilik air
  2. 2 X Bilik untuk 5 orang dengan 2 katil ‘double decker’;
  3. 1 X Bilik untuk 2 dengan 1 katil ‘double decker’.

So, houseboat ini mempunyai 14 buah tempat tidur kesemuanya.

Ada 2 bilik air yang boleh dikongsi bersama iaitu satu di bahagian bawah dan satu lagi di tingkat satu.

Tingkat bawah merupakan ruang makan/dapur dan ruang santai yang boleh dijadikan sebagai tempat tidur pada waktu malam.

1. Rafflesia Spotting

Salah satu dari aktiviti kami sebelum menaiki ‘houseboat’ adalah ‘Rafflesia Spotting’. Ianya terletak di salah satu dari puluhan lokasi Bunga Rafflesia yang terdapat di kawasan ini. Saya perlu menaiki bot untuk ke sana. Setibanya di lokasi, saya perlu mendaki cerun bukit untuk ke kawasan di mana bunga ini sedang mekar.

Bunga Rafflesia yang juga dikenali sebagai Bunga Pakma merupakan tumbuhan parasit yang tumbuh di atas tumbuhan perumah, Ia tidak mempunyai akar, daun mahupun batang sendiri. Ia mengambil masa selama sembilan (9) bulan untuk pertumbuhan tunas bunga sehingga mekar. Setelah mekar, bunga ini hanya bertahan selama enam (6) hingga sembilan (9) hari sahaja sebelum ianya layu.

Kesemua spesis Bunga Rafflesia yang diketahui hanya terdapat di hutan tropika di Asia Tenggara sahaja dan hanya tiga yang boleh dijumpai di Kompleks Hutan Tropika Belum-Temengor iaitu Rafflesia Azlanii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Kerii.

Bunga Rafflesia akan mengeluarkan bau busuk semasa ianya sedang berkembang. Ia berperanan untuk menarik perhatian serangga seperti agas dan lalat yang secara tidak langsung membantu proses pendebungaan.

Bagi masyarakat orang asli, air rebusan tunas bunga ini digunakan sebagai ubat tradisional, terutamanya untuk membantu memulihara kesihatan wanita selepas melahirkan anak.

2. Santai Barbecue & Karaoke

Bagi yang inginkan suasana pemandangan yang indah, boleh terus naik ke ‘upper deck’. Ruang atas yang terbuka luas ini sangat sesuai bagi anda yang ingin menikmati angin sepoi-sepoi serta keindahan alam semulajadi di sekitar Hutan Tropika Royal Belum ini.

Ruangan ini juga boleh dijadikan ruang ‘barbeku’ semasa makan malam.

Bagi yang ingin berkaraoke, sistem audio juga ada disediakan. Nak menyanyi sampai pagi pun takpe, namun genset utama hanya akan beroperasi sehingga jam 2.00 pagi sahaja.

3. Memancing

Tasik Temengor merupakan syurga bagi mereka yang gemar memancing ikan kerana di sini terdapat pelbagai spesis ikan sepertu Toman, Kelah, Sebarau dan lain lain spesis ikan air tawar.

Jika anda ingin memancing, pastikan anda bawa bersama kelengkapan untuk memancing seperti joran dan umpan kerana ianya tidak termasuk dalam pakej.

4. Berkayak & Berenang di Keheningan Pagi

Saya bangun awal keesokkan hari bagi menikmati suasana pagi yang jarang sekali dapat kita rasai. Kicauan burung diiringi bunyi cengkerik serta suasana tasik yang dipenuhi kabus memang sesuatu yang saya nantikan. Damai dan tenang….itulah yang bermain di kotak fikiran saya ketika itu.

Saya tidak melepaskan peluang untuk berkayak dan juga berakit di sekitar kawasan tersebut. Meskipun pandai berenang, anda dikehendaki untuk menyarung jaket keselamatan setiap kali anda menyertai apa jua aktiviti di tasik.

Selesai berkayak, apa lagi….tiba masanya untuk saya terjun ke dalam tasik untuk merasai sendiri kesejukkan air tasik di waktu pagi. Memang sejuk beb…

Bila badan dah terasa sejuk, mula la lapar rasa perut. Selesai aktiviti pagi itu kami terus bersarapan pagi dan bersiap-siap untuk meneruskan aktiviti yang telah dijadualkan.

5. Lawatan ke Perkampungan Orang Asli Kg Chuweh

Selesai sarapan pagi, kami menaiki bot kecil dari lokasi ‘houseboat’ kami berlabuh untuk melawat perkampungan orang asli orang asli di Kg Chuweh. Dari kejauhan, kami sudah dapat melihat rumah-rumah orang asli yang dibina di lereng-lereng bukit.

Bagaikan menonton rancangan ‘National Geographic’, kehadiran kami disambut dengan kelibat beberapa orang kanak-kanak sedang bermandi-manda sementara beberapa orang wanita sedang mencuci pakaian di pinggir tasik tersebut. Kebanyakkan orang asli di kawasan Hutan Tropika Belum Temengor adalah dari suku kaum Jahai dan suku kaum Negrito.

Meskipun kanak-kanak orang asli di perkampungan tersebut agak pemalu, namun jelas terpancar wajah kegembiraan mereka apabila sedikit buah tangan yang kami bawa diagihkan untuk mereka. Sekurang-kurangnya, mereka keluar berdepan dengan kami untuk mengambil buah tangan yang kami dihulurkan.

Ada juga diantara mereka yang terus masuk ke dalam rumah bila melihat kelibat kami dan ada juga yang hanya mengintai dari celah pintu rumah meskipun kami pasti mereka sudah biasa melihat orang luar datang melawat ke kampung mereka.

Rumah-rumah yang ada di sini masih dibina dari buluh dan beratapkan daun. Ada sebuah pondok kecil yang menjual hasil hutan dan kraftangan untuk pengunjung yang berminat.

6. Sira Gajah @ Salt Lick di Sungai Papan

Seterusnya, kami bergerak ke Base Camp yang terletak di Sungai Papan untuk ke Sira Gajah @ Salt Lick.

Setibanya kami di lokasi, kami berenti rehat untuk seketika. Bungkusan makanan yang mengandungi sandwich ayam, cokelat, pisang dan air diberikan kepada setiap seorang. Saiz sandwic agak besar dengan inti ayam yang agak tebal sudah cukup untuk mengalas perut kami. Selesai makan, kami semua mula bergerak ke Sira Gajah yang terletak tidak jauh dari situ.

Kami dibawa merentasi jambatan untuk ke kawasan di mana terdapatnya Sira Gajah @ Salt Lick tersebut.

Kami melihat kawasan tanah dengan beberapa batu di mana haiwan herbivor dikatakan datang untuk mendapatkan garam mineral yang diperlukan oleh mereka.


Sira gajah @ Salt Lick merupakan kawasan yang mengandungi simpanan garam galian yang penting untuk nutrisi mamalia tertentu. Tumbuh-tumbuhan di kawasan hutan tropik mempunyai kandungan garam mineral yang rendah, terutamanya garam natrium.

Oleh itu, kawasan seperti ini dikunjungi oleh haiwan herbivor bagi mendapatkan mineral penting untuk kesihatan dan penghadaman mereka.

7. ‘Picnic’ di Air Terjun Sungai Rouk

Peluang untuk mandi di air terjun di hutan hujan tropika Royal Belum memang menjadi idaman saya. Perasaan gembira & teruja apabila tiba di sini. Deruan air terjun yang kedengaran dari jauh seakan menyambut kedatangan kami.

Kami melalui laluan trekking untuk sampai ke air terjun ini. Persekitaran dikelilingi pokok-pokok yang merimbun membuatkan panas matahari tidak begitu dirasakan.

Subhanallah, sangat cantik. Air yang mengalir terasa sangat dingin dan kami juga dapat melihat kumpulan ikan berenang-renang di kaki semasa kami berada di kawasan air terjun teraebut. Memang berbaloi. Terasa hilang penat mendaki tadi.

Anda juga akan dapat libat rama-rama berterbangan di sekitar kawasan air terjun.

8. Fotografi

Ya…fotografi. Bagi yang julung kali berkunjung, saya jamin anda pasti terpukau dengan keindahan landskap serta flora dan fauna uang wujud di sekitar Kompleks Hutan Tropika Belum-Temengor ni.

Meskipun telah berulang kali berkunjung ke sini, setiap foto yang saya hasilkan pasti berbeza dari yang sebelumnya. Jadi jangan lupa untuk mula mengambil gambar ala-ala ‘National Geographic’ dan ‘Discovery Channel’ sebaik sahaja anda menjejakkan kaki di sini.

Pendek kata, anda pasti enjoy trip menaiki houseboat ni. Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan disamping menikmati keindahan alam semulajadi. Saya memang ‘recommend’ anda untuk cuba trip ini. Apa lagi, segeralah buat tempahan…

One thought on “Trip Houseboat di Belum Temengor – 8 Aktiviti Yang Anda Mesti Cuba

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: