Idea untuk berkongsi kisah pengembaraan ‘Malaysia’s Jungle Railway’ ini tercetus setelah beberapa kali menaiki Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dari Johor Bahru ke Tumpat semenjak PKPP dilaksanakan pada bulan Jun 2020 yang lalu. Namun, atas faktor tugasan harian yang agak padat, catatan ini hanya dapat saya siapkan baru-baru ni.
Dengan tema pengembaraan, ‘Friday : My Train Day’, saya memulakan beberapa siri jelajah Pantai Timur dengan menaiki kereta api.
Saya juga pernah berkongsi pengalaman menaiki kereta api bagi laluan Kuala Lipis ke Tumpat dalam blog saya yang lalu. Perkongsian catatan ini juga diharap dapat dijadikan bahan rujukan bagi anda yang ingin merasai sendiri pengalaman ‘Malaysia’s Jungle Railway’ yang cukup terkenal di Pantai Timur.
Untuk maklumat lanjut mengenai Jadual Perjalanan dan Tambang, anda bolehlah layari laman sesawang KTM Berhad atau membuat pembelian tiket melalui aplikasi rasmi KTMB.



Nada bunyi enjin lokomotif & hentakan roda-roda kereta api di atas rel sentiasa kekal dalam memori. Kadangkala, terasa rindu pulak dengan bunyi deruan enjin dan dentuman roda besi kereta api. So, nak hilangkan kerinduan tersebut kenalah selalu naik kereta api.
Perjalanan bagi laluan kereta api dari Johor Bahru ke Tumpat adalah lebih kurang 723.15 kilometer dan mengambil masa sehingga 17 jam. Wow, walaupun ianya satu masa yang agak panjang, namun keindahan alam semulajadi serta pengalaman semasa pengembaraan bakal membuatkan masa anda terasa begitu singkat.
Lazimnya, saya gemar memulakan perjalanan dari Stesen Kempas Baru memandangkan stesen tersebut sangat hampir dengan kediaman keluarga saya. Namun pada kali ini, saya memilih untuk memulakan perjalanan dari Stesen JB Sentral kerana ruang menunggu yang disediakan amat selesa dan berhawa dingin serta tidak perlu berebut-rebut untuk naik ke koc kereta api.


Tren 26up ERT ni telahpun berada di Platform No. 4 semasa saya masuk ke platform. Senang dan mudah. Bagi memudahkan perjalanan, sila semak semula tiket bagi memastikan anda masuk di koc seperti yang tertera di tiket anda.


Paling menggembirakan saya adalah apabila berjumpa rakan-rakan yang bertugas mengendalikan tren semasa perjalanan. Banyak topik-topik serta pengalaman dapat dikongsikan bersama.


JB Sentral
Bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Tumpat, saya lebih gemar untuk memilih koc ‘Superior Night Class’ ADNS (Air-Cond Day/Night Second Class). Setiap Koc ADNS dilengkapi dengan 20 katil atas dan 20 katil bawah dan ianya sangat selesa bagi saya untuk harga tambang yang sangat berpatutan iaitu RM55.00 (katil bawah) dan RM49.00 (katil atas) sehala. Permintaan bagi katil bawah memang sangat tinggi dan tempahan awal perlu bagi mengelak kehabisan tiket bagi anda yang inginkan katil bawah.



Bagi menambah keselesaan semasa perjalanan, saya ada bawa ‘bantal kecil’ dan juga ‘blanket’. Tengok, menarik tak? Hah,…baru la best..


Tren 26up ERT ni berlepas dari Stesen JB Sentral pada jam 7.15 malam. Jajaran tren ini merangkumi 1 lokomotif, 1 koc PGC (Power Generation Car), 4 buah koc tempat tidur ADNS, 1 koc Bufe, 4 buah koc tempat duduk ASC (Air-cond Second Class) dan 1 koc tempat duduk AFC (Air-cond First Class). Semua koc penumpang dilengkapi dengan kemudahan tandas.




Tren ERT ni hanya berhenti di beberapa buah stesen sahaja sepanjang perjalanan. Bagi perjalanan dari JB Sentral, tren ini berhenti untuk mengambil penumpang-penumpang di Stesen Kempas Baru, Kulai, Kluang dan Segamat sahaja sebelum tiba di Gemas. Tidak banyak pemandangan yang dapat kita lihat memandangkan keadaan yang begitu gelap di sepanjang laluan ini. Apa yang pasti adalah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2022.



Tak cukup syarat naik kereta api kalau tak lepak kat koc Bufe. Menu wajib bila makan kat sini adalah Maggi sup & teh tarik. Tak percaya tanyalah kat ‘railway fans’ yang selalu naik kereta api. Tak kira siang ke, malam ke…Maggi sup ‘tetap menjadi pujaan hatiku’…..cuttt….hahahaha…


Setelah menempuh kira-kira 4 jam 45 minit perjalanan sejauh 195.4 kilometer, tren ini tiba di Stesen Gemas pada jam 11.50 malam untuk ‘tech-stop’ & pertukaran krew bertugas. Seperti biasa, kamera DSLR menjadi ‘teman setia’ bila travel. Ambil gambar-gambar & video sikit, mana-mana yang patut.




Bagi penumpang-penumpang dari laluan kereta api di sebelah Pantai Barat, Stesen Gemas merupakan stesen pertukaran bagi perjalanan ke destinasi Pantai Timur. Ianya dihubungkan oleh perkhidmatan ETS EG9425 yang dijadualkan tiba dari Padang Besar pada jam 11.59 malam.
Perjalanan Tren 26up ERT ini disambung semula pada jam 12.20 malam. Tren ini juga berhenti di stesen-stesen tertentu seperti Bahau, Kemayan, Triang, Mentakab, Kuala Krau, Jerantut & Kerambit sebelum tiba di Stesen Kuala Lipis.

Tren 26up ERT ini akan ‘crossing’ dengan Tren 27dn ERT bagi laluan Tumpat – JB Sentral pada jam 3.45 pagi. Tren 27dn ERT telahpun tiba terlebih dahulu ketika Tren 26up ERT yang saya naiki tiba di Stesen Kuala Krau. Nah…share sikit gambar ‘train crossing’ ni..







Perjalanan dari Kuala Krau ke Kuala Lipis mengambil masa kira-kira 2 jam. Sempat la nak melelapkan mata sekejap. Biasanya tren 26up ni tiba di Stesen Kuala Lipis pada jam 5.40 pagi. Anda boleh dengar azan Subuh berkumandang ketika berada di Stesen Kuala Lipis. Masa untuk bangun solat & meregangkan badan sekejap. Tren ini juga akan berhenti untuk ‘tech-stop’ & pertukaran krew bertugas sekali lagi di sini. So, ada masa la untuk buat apa-yang patut sebelum tren sambung perjalanan pada jam 6.01 pagi.




Oleh kerana keadaan di luar masih gelap, saya pun sambung tidur semula. ..Lepas Stesen Kuala Lipis, tren ini berhenti pula di Stesen Merapoh. Tapi jangan la pulak sampai terlepas Stesen Gua Musang. Rugi woo…biasanya Tren 26up ERT ni tiba di Stesen Gua Musang pada jam 7.50 pagi. Dah terang dah waktu sampai…

Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki di Stesen Gua Musang ni, pastinya terpukau dengan keindahan landskap dan latar belakang stesen ni. Tak tergambar dengan kata-kata, hanya lensa kamera yang mampu berbicara……

Nak sarapan pagi…takde masalah. Tren akan sambung semula perjalanan pada jam 8.03 pagi. So, sempat lagi kalau nak beli makanan di kantin stesen ni. Lazimnya, saya akan membuat tempahan awal melalui ‘whatsapp’ sebab dah kenal dengan pengusaha kantin berkenaan. Nasi Daging Kerutuk, Nasi Kari Ayam & Nasi Daging Goreng tetap menjadi pilihan biarpun berulang kali makan.


Sarapan pagi dengan latarbelakang pemandangan batu kapur yang unik di sini memang ‘priceless’…tenang rasanya.

Bagi penggemar fotografi, suasana awal pagi dengan dilitupi kabus yang tebal memang menggamit pandangan mata. Inilah saat yang ditunggu-tunggu & dengan menggunakan kamera DSLR, saya sempat merakamkan beberapa panorama menarik di sepanjang perjalanan sebelum tiba di Stesen Dabong.





Bagi ‘railway fan’ macam saya ni, ‘train crossing’ memang saat yang dinanti-nantikan. Apabila tiba di Stesen Bertam Baru pada jam 8.55 pagi, Tren 26up ini akan ‘crossing’ pula dengan Tren Shuttle 51 @Ghost Train dari Tumpat yang sinonim dengan jolokan ‘Tren Budak Sekolah’.





Tren ni berhenti di Dabong pada jam 9.41 pagi. Bagi yang nak menjelajah Dabong boleh turun di sini. Banyak yang boleh anda lakukan ketika berada di Dabong ni.



Dabong mempunyai keunikannya yang tersendiri. Cerita mengenai Dabong ni akan saya kongsikan di coretan yang akan datang. Namun anda boleh tonton video saya untuk sedikit ‘teaser’ tentang apa yang berlaku di Stesen Dabong pada waktu pagi.
Bagi peminat acara lasak seperti, ‘jungle trekking’, ATV dan lain-lain inilah tempatnya. Penginapan & makan tidak menjadi masalah di Dabong. Anda boleh cuba untuk menginap di Rose House Dabong dan menjamu selera di Naura Bistro. Layanan memang ‘superbbb’ teramat sangat…

Perjalanan bertambah menarik apabila tren mula bergerak melalui laluan Dabong ke Kuala Krai. Suasana pagi yang terang & cuaca yang begitu baik serta kabus yang amat ‘epic’ ketika perjalanan kali ini, seakan memihak kepada saya. Bagus untuk ambil gambar-gambar pemandangan yang menarik.


Terdapat 7 buah terowong sepanjang laluan Dabong ke Kuala Krai ini. Masuk terowong, keluar terowong….masuk terowong lagi…..Jangan lepaskan pengalaman menarik ini.








Satu lagi panorama menarik sepanjang laluan adalah semasa tren melalui ‘viaduct’ yang panjang…..’Viaduct’ ialah jambatan yang terdiri daripada span-span kecil yang membentuk sesebuah ‘rail flyover’ atau ‘rail bridge’.


Semua terowong dan ‘viaduct’ yang terdapat di laluan ini telah dibina semenjak zaman British lagi. Namun semua ‘viaduct’ yang ada masih kukuh dan selamat untuk digunakan oleh kereta api yang menggunakan laluan tersebut.


Tren 26up ERT ni tiba di Stesen Kuala Krai tepat jam 10.50 pagi. Biasanya saya akan turun di platform untuk ambil gambar-gambar menarik di sekitar stesen. Hon kedengaran dari lokomotif menandakan tren akan berlepas ke destinasi berikutnya iaitu Stesen Tanah Merah. Tren mula mengorak langkahnya tepat jam 10.56 pagi.

Jambatan Guillemard akan direntasi sebelum tiba di Stesen Tanah Merah. Ianya merupakan sebuah jambatan kereta api yang strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Ia mula dibina pada tahun 1920 dan siap pada Julai 1924. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah, Kelantan. Jambatan ini merupakan jambatan kereta api (single line) yang terpanjang di Malaysia.




Sebelum tiba ke destinasi terakhir, tren ini akan berhenti di 2 buah stesen lagi iaitu Stesen Pasir Mas dan Stesen Wakaf Bharu. Bagi anda yang ingin ke Bandaraya Kota Bharu, bolehlah turun di Stesen Wakaf Bharu memandangkan ianya dekat dengan pusat bandar dan mudah untuk mendapatkan kenderaan awam dan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan teksi.


Setelah menempuh perjalanan bagi laluan kereta api sejauh 723.15 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 17 jam, tibalah saya di Stesen Tumpat iaitu stesen akhir Tren 26up ERT ni. Kebiasaannya, saya akan bermalam dan bersiar-siar di Kota Bharu terlebih dahulu sebelum pulang ke Johor Bahru.


Bagi perjalanan pulang dari Tumpat ke Johor Bahru, Tren 27dn ERT akan berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 6.50 petang.




Namun kali ni, berlainan pula suasana perjalanan memandangkan laluan antara Tumpat hingga ke Gemas adalah pada waktu malam. Masa untuk tidur, saya manafaatkan sebaik mungkin.

Istilah ‘Katil Goyang’ oleh ‘railway fans’ memang boleh digunapakai ketika perjalanan pulang. Tidur di atas katil yang bergoyang-goyang memang seronok ibarat tidur dalam buaian ibu. Memang boleh lena nyenyak dibuatnya.

Kalau rasa bosan tidur, koc Bufe lah tempat lepak yang paling best. Apa lagi Maggi Sup lah….Namun, untuk trip kali ni, saya dah ‘pre-order dinner’ sebelum Tren 27dn ERT berlepas dan akan saya ambil ketika tiba di Stesen Dabong.

Tren 27dn ERT ni tiba di Stesen Dabong pada jam 9.41 malam (kalau 26up ERT tiba di sini jam 9.41 pagi). Memang unik waktu ketibaan Tren ERT di Dabong ni.
Nah, saya share sikit hidangan untuk ‘dinner’ saya. Terima kasih Naura Bistro.




Selesai ‘dinner’, saya sambung lagi tidur sehingga tiba di Stesen Kuala Lipis. Nyenyak betul. Cukup selesa. ‘Feels like home’ kata orang putih. Tengok jam baru pukul 1.25 pagi. Seperti biasa, tren akan berhenti lebih kurang 10 minit untuk ‘tech-stop’ dan bertukar krew.

Betul kata seorang rakan kenalan yang juga ‘railway fan’, Naik Kereta Api, Kita Jadi Kawan…Sepanjang perjalanan Johor Bahru – Tumpat – Johor Bahru, ramai kenalan yang saya jumpa. Tak kiralah dalam kereta api mahupun di stesen kereta api. Walaupun kadangkala mengembara secara solo, namun kenalan di sepanjang perjalanan membuat kita tidak keseorangan..




Tren 27dn ERT ni tiba di Stesen Gemas jam 7.00 pagi dan menyambung semula perjalanan ke Johor Bahru pada jam 7.18 pagi.


Sarapan pagi untuk perjalanan kali ini adalah Roti Bakar dan juga Milo tarik.

Selesai sarapan, sambung sikit buat kerja-kerja editing gambar-gambar dan video yang diambil semasa perjalanan ke Tumpat tempohari. Sambil-sambil tu, boleh lihat pemandangan di luar.


Anda boleh lihat kerja-kerja Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2022 sedang giat dilaksanakan.



Landasan-landasan sementara juga mula dibuka bagi laluan tertentu bagi tujuan pembinaan landasan baru di kawasan landasan yang lama.

Masa seakan begitu cepat berlalu ketika perjalanan pulang. Setelah 4 jam berlepas dari Stesen Gemas, saya pun tiba di Stesen Johor Bahru Sentral pada jam 12.05 tengahari.

Alhamdulillah, trip kali ini juga telah berjalan dengan lancar. Terima kasih diucapkan kepada semua krew & kakitangan KTM Berhad yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan perjalanan semua penumpang selamat ke destinasi.
Demikianlah sedikit perkongsian pengembaraan saya kali ini. Mungkin catatan pengalaman ini dapat sedikit sebanyak membantu anda yang hendak merancang perjalanan ke laluan Pantai Timur ini. Insya Allah bertemu lagi di coretan seterusnya…
‘Subscribe & Like’ YouTube Channel saya untuk menonton video pengembaraan ‘Malaysia’s Jungle Railway’.