Pernah tak anda naik tren selama 17 jam untuk mengembara ke Kelantan? Kalau belum pernah, mungkin anda patut cuba.
Perkhidmatan tren kekal menjadi denyut dan nadi kepada kehidupan rakyat Malaysia. Di sesetengah kawasan pendalaman di Pantai Timur, tren merupakan mod pengangkutan awam utama penduduk berulang-alik bagi menjalankan aktiviti seharian mereka.

Walaupun kerap ke Kelantan dengan perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran @ ‘Malaysia Jungle Railway’ ini, namun apabila menerima jemputan ini ianya satu peluang yang tidak mungkin saya lepaskan. Perkongsian perjalanan dari JB Sentral ke Tumpat pernah saya kongsikan pada coretan saya yang lalu.
Syabas & terima kasih kepada pihak KTMB & Tourism Malaysia Wilayah Timur atas penganjuran program Kembara Jajaran KTMB 2020 selama 4 hari 3 malam pada penghujung bulan September 2020 yang lalu.
Peserta program kali ini bertuah dapat merasai pengalaman menaiki kereta api, sambil meneroka tempat-tempat dan menu tempatan menarik di negeri Cik Siti Wan Kembang ini dengan kerjasama pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur.
Hari Pertama
Kembara Jajaran KTMB 2020 ini telah disertai oleh 40 orang rakan-rakan media dari pelbagai organisasi media tempatan serta penggiat platform media sosial baharu.

Perjalanan kami bermula dari Stesen Kuala Lumpur Sentral pada jam 9.40 malam dengan Tren ETS EG9425 setelah upacara perasmian dan ‘flag-off’ oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar. Turut hadir sama adalah Tuan Afzar Zakariya, Ketua Perkhidmatan Antarabandar, KTM Berhad.



Setelah mengharungi perjalanan selama lebih kurang 2 jam 20 minit, tren ETS yang kami naiki tiba di Stesen Gemas, iaitu stesen pertukaran bagi perjalanan ke destinasi Pantai Timur. Perjalanan kami disambung pula dengan perkhidmatan Tren 26up Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pada jam 12.20 malam.

Tren 26up ERT yang berlepas dari Stesen JB Sentral pada jam 7.15 malam ini merangkumi 1 lokomotif, 1 koc PGC (Power Generation Car), 4 buah koc tempat tidur ADNS, 1 koc Bufe, 4 buah koc tempat duduk ASC (Air-cond Second Class) dan 1 koc tempat duduk AFC (Air-cond First Class). Semua koc penumpang dilengkapi dengan kemudahan tandas.

Hari Kedua
Tren 26up ERT yang kami naiki tiba di Stesen Gua Musang pada jam 7.50 pagi.


Saya dan rakan-rakan media turun di Stesen Gua Musang dan terus dibawa untuk berehat sebentar serta bersarapan pagi di KESEDAR Inn iaitu sebuah penginapan yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan.

Setelah selesai sarapan, saya dan rakan-rakan media dibawa untuk melawat ke tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancong di sekitar bandar Gua Musang.

Masjid Razaleigh
Lokasi pertama lawatan kami adalah Masjid Razaleigh. Masjid mirip Masjidil Haramin ini diberi nama Masjid Razaleigh, sempena nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pembinaan masjid yang diilhamkan oleh Tengku Razaleigh ini menelan belanja RM32 juta dan bakal menjadi ikon baharu untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri serambi Mekah ini.

Masjid berkeluasan 70,000 kaki persegi ini dilengkapi bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam, dewan makan dan ruang solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini juga menyediakan ruang kepada bakal haji mengadakan kursus secara praktikal seperti tawaf.

Berlatar belakangkan gua batu kapur Gua Musang, masjid ini bukan sahaja besar, bahkan turut mempunyai rekaan warna, jubin dan hiasan luar termasuk sembilan menara mirip Masjidil Haram. Selain itu, masjid yang dibina oleh pakar tempatan sejak akhir 2016 ini juga dilengkapi tempat letak kereta yang luas.

Masjid ini bakal mengubah wajah Gua Musang dan akan menjadi produk pelancongan yang berkembang pesat di pintu masuk ke negeri Kelantan itu. Masjid dengan rekaan unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin ini juga bakal menjadi tarikan pengunjung.



Walaupun belum dibuka secara rasmi, namun sudah ada pengunjung luar datang untuk melihatnya.
Tokong Swee Nyet Keung
Seterusnya kami singgah di Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek) di Kampung Pulai yang terletak kira-kira 15km dari bandar Gua Musang.

Lokasi ini merupakan penempatan orang Cina pertama di Negeri Kelantan kira-kira 500 tahun yang lalu. Kedatangan kaum Cina ke Gua Musang pada tahun 1429, kira-kira 24 tahun setelah Laksamana Cheng Ho mendarat di Melaka dipercayai disebabkan oleh impian untuk mendapatkan emas di sini.

Tarikh kedatangan peneroka ini dapat dibuktikan berdasarkan catatan dan gambar yang terdapat di Tokong Mek ini. Di ruangan ini, terdapat lukisan gambar “Kuan Yin” yang dibawa dari China yang datang berhijrah. Tokong ini pernah dibakar oleh Jepun semasa era penjajahannya sekitar tahun 1941 dan dibina semula pada tahun 1971.



Taman Etnobotani
Kami juga turut dibawa ke Taman Etnobotani yang terletak di Jalan Gua Musang – Kuala Lipis. Berkeluasan 35 hektar, ia dikembangkan sebagai pusat penyelidikan dan rekreasi perhutanan yang bertujuan untuk memelihara kepentingan hutan terutama produk herba.

Komponen utama Taman Etnobotani adalah taman herba, galeri herba, pusat inkubator (8 unit) untuk pengusaha UKM berasaskan herba, kemudahan aktiviti riadah, chalet, taman haiwan mini dan pelbagai kemudahan sokongan.


Berlatarbelakangkan gua batu kapur dan persekitaran yang tenang, anda boleh melawat ke kawasan penanaman tanaman herba serta mencuba aktiviti rekreasi seperti ‘rock climbing’.

Masjid Buluh
Keunikan masjid yang diperbuat daripada buluh ini dikenali dengan nama ‘Masjid Buluh’ dan ia adalah yang pertama dibina dari buluh di Kelantan. Masjid ini sering menjadi pilihan musafir, terutama pengguna jalan raya yang berhenti untuk menunaikan solat.

Terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran gua batu kapur di Gua Musang, masjid itu memberi keselesaan untuk mereka berhenti rehat, terutama kepada orang ramai yang balik ke kampung pada musim perayaan.

Masjid Buluh ini lengkap dengan kemudahan asas dan tempat parkir kereta yang luas, sekali gus menjadi pilihan tepat musafir dalam perjalanan ke destinasi tujuan mereka.

Masjid ini sering menjadikan tempat persinggahan sejak siap dibina pada 2018.

Selain selesa untuk mengerjakan solat ianya juga terletak di tempat menarik kerana berhampiran gua batu kapur, rekaan unik masjid yang dibuat daripada buluh berkualiti tinggi itu juga menarik tumpuan.

Hari Ketiga
Pasar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah merupakan lokasi pelancongan yang tidak perlu diperkenalkan lagi.


Rasanya semua sudah tahu apa yang menarik di sini. Ia adalah lokasi tumpuan penduduk di sekitar bandar Kota Bharu dan juga pelancong yang datang berkunjung ke Kota Bharu.

Pelbagai barangan dapur dan barangan tektil seperti kain ela, kain batik, kain pelekat dan tudung menjadi tumpuan pengunjung.
Apa yang cukup menarik adalah kepelbagaian juadah serta kuih muih yang dijual di sini. Warna dan tektur hidangan ini menarik perhatian saya untuk dirakamkan.






Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan
Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan atau ‘Kelantan Traditional Malay Shadowplay Gallery’ yang terletak di Simpang Tiga Morak, Palekbang dalam Jajahan Tumpat merupakan lokasi kunjungan kami pada hari ketiga.

Ini adalah antara lokasi dalam ’wishlist’ saya walaupun telah kerap kali berkunjung ke Kelantan. Namum barulah kali ini ianya dapat menjadi kenyataan.

Saya sempat sembang-sembang santai dengan Pak Dain semasa lawatan tersebut. Pak Dain atau nama sebenarnya, Muhammad Dain Othman adalah salah seorang Tok Dalang tersohor di Kelantan. Mahir menguasai sehingga 30 ke 40 watak wayang kulit, Pak Dain telah melibatkan diri dengan seni wayang kulit ini selama lebih tiga dekad.Perasaan cinta terhadap wayang kulit juga menyebabkan Pak Dain sanggup melabur sehingga RM250,000 untuk membina Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan pada 2008.


Pak Dain turut menjadikan galerinya sebagai pusat rujukan wayang kulit bagi pelancong tempatan dan luar negara seperti Belgium & Australia serta menjadi bahan kajian untuk penuntut universiti.Galeri yang mirip seakan muzium mini ini ada menyediakan bengkel bagi mereka yang berminat untuk belajar dan membuat wayang kulit sendiri.

Pak Dain turut menyediakan pakej bilik sewa yang terhad kepada 4 orang khusus untuk peserta bengkel di sebelah tapak galeri.Menurut Pak Dain, beliau juga pernah berusaha untuk mencari skuad pelapis bagi mengumpulkan semua pemain wayang kulit dan tok dalang yang masih bergiat aktif di negeri Kelantan.
Pak Dain berazam untuk terus berkarya dan berharap galerinya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sumber rujukan seni budaya bangsa selagi wayang kulit masih digemari rakyat tempatan.
Semoga usaha murni serta perjuangan Pak Dain dalam memelihara warisan wayang kulit sebagai hiburan tradisional agar tidak pupus dan hilang ditelan zaman ini sentiasa berterusan dan mendapat sokongan dari semua pihak yang berkepentingan.

Di akhir lawatan, saya sempat membeli sepasang watak wayang kulit yang begitu sinonim serta terkenal iaitu Sri Rama dan Sita Dewi sebagai kenangan untuk dibawa pulang.
Kudos Pak Dain…
Ayu Fashion House & Craft
Lokasi lawatan kami seterusnya adalah Ayu Fashion House & Craft. Anda pernah lihat bagaimana cara batik dihasilkan dengan menggunakan teknik tradisional?

Baiklah, saya kongksikan sedikit coretan pengalaman saya mengenai teknik penghasilan batik secara tradisional ini. Saya telah berpeluang melihat sendiri bagaimana batik dihasilkan dengan kaedah blok.

Kedatangan saya dan rakan-rakan media disambut oleh pemiliknya, Pakcik Ibrahim. Terletak di Kampung Talak, Tumpat, Kelantan, Ayu Fashion mengekalkan kualiti batiknya dengan mengekalkan teknik tradisional yang sudah tidak digunakan lagi oleh mana-mana tukang batik iaitu dengan menggunakan blok-blok yang unik, diwarnakan dengan tangan serta lain-lain proses secara tradisional.

Saya amat kagum dengan usaha pemilik Ayu Fashion dalam mengekalkan warisan tradisi yang unik namun tidak lapuk ditelan zaman ini. Ayu Fashion memang terkenal kerana pembuatan batik menggunakan kaedah blok, iaitu satu kaedah penghasilan batik secara tradisional.

Apa yang menarik adalah setiap batik yang dihasilkan dengan blok tertentu adalah unik. Ini bermaksud tiada corak-corak batik akan sama dengan batik yang dihasilkan di sini mahupun dengan mana-mana batik yang dihasilkan ditempat-tempat lain. Sebagai jaminan, jika berlaku penghasilan batik yang sama serta dibeli oleh pelanggan, Pakcik Ibrahim akan menilai ketulenan batik yang dibeli tersebut dan seterusnya membayar semula jumlah wang dari nilai pembelian berserta saguhati.

Delegasi kami terus dibawa masuk ke bengkel menghasilkan batik setibanya kami di sana bagi melihat sendiri bagaimana proses menghasilkan batik dari kaedah blok disiapkan. Lazimnya, pelanggan akan menempah corak batik dengan blok yang baharu sebagai pilihan. Namun, ada juga pelanggan yang berhasrat meggunakan blok yang sedia ada akan tetapi dengan warna-warna serta susunan corak yang berlainan dengan batik yang dihasilkan sebelum ini.


Difahamkan, ada lebih dari 5,000 rekaan batik blok pernah dihasilkan di sini mengikut tempahan pelanggan.Proses membuat kain batik menggunakan kaedah blok ini bermula dengan kain putih.

Menurut Pakcik Ibrahim, kain putih akan dibentangkan di atas bingkai kayu yang dialas dengan span yang telah dibasahkan dengan air. Blok ukiran yang telah dipilih kemudiannya akan dicelup ke dalam cecair lilin terlebih dahulu sebelum ditekap kepada permukaan kain. Proses menekap ini akan dilakukan berulang kali mengikut susunan corak yang tertentu sehingga keseluruhan bahagian kain telah ditekap.


Kain-kain yang telah siap dikeringkan ini kemudiannya diregangkan pada bingkai kain untuk proses mencanting atau mewarna batik. Di sinilah proses mewarna secara ‘manual’ menggunakan tangan bermula. Pelanggan boleh menentukan sendiri corak dan warna batik semasa membuat tempahan. Ini menjamin kain batik yang bakal dihasilkan tidak akan sama dengan kain batik yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Saya dan rakan-rakan media tidak melepaskan peluang untuk mencuba setiap proses membuat batik dengan kaedah blok di sini.Pelanggan juga boleh datang terus ke Ayu Fashion untuk membeli batik yang sudah siap.









Setelah selesai melihat serta merasai sendiri proses membuat batik dengan kaedah blok, kami dibawa ke kedai batik Pakcik Ibrahim yang teletak di hadapan rumahnya. Di sini dipamerkan hasil batik dan pakaian batik yang sudah sedia untuk dijual. Terdapat bermacam-macam jenis rekaan dan jenis batik seperti baju kurung, baju kelawar, baju kemeja dan juga seluar.
Ayu Fashion turut sedia menerima tempahan produk batik seperti baju untuk institusi kerajaan mahupun badan-badan korporat. Harga yang ditawarkan pula bergantung kepada jenis kain dan rekaan bermula dari RM100 hingga ada juga yang mencecah RM800!
Saya sempat juga membeli sepasang batik untuk dibuat baju dan sepasang baju kemeja sebagai tanda kenang-kenangan.

RS Serunding
Saya dan rakan-rakan media juga sempat singgah ke kilang Serunding Ramlah Salleh (RS Serunding).

Perusahaan yang diasaskan pada tahun 1985 adalah antara jenama terkenal pengusaha serunding di Kampung Laut, Kelantan. Produk-produk RS Serunding kini bukan sahaja diedarkan di sekitar Kelantan tetapi juga telah menjangkau ke seluruh Malaysia dan juga luar negara.


Kilang dan kedai RS Serunding kini beroperasi di Taman Warisan Jaya, berhampiran dengan jalan utama Palekbang – Kampung Laut, sebuah penampatan semula penduduk yang dipindahkan dari tepi Sungai Kelantan ini bermula di bangunan yang terletak di tepi Sungai Kelantan, Kampung Laut.

RS Serunding begitu mementingkan kualiti dan citarasa asli bagi serunding yang dihasilkan. Di antara jenis serunding yang dihasilkan ialah serunding daging (daging tempatan dan import), serunding ikan dan serunding ayam.


Rumah Api Tumpat
Bandar Tumpat dahulunya adalah sebuah bandar pelabuhan yang masyhur di sekitar tahun 1900. Pihak berkuasa pelabuhan (Syahbandar) telah mendirikan rumah api di kawasan-kawasan yang strategik bagi kemudahan para pedagang atau pelayar keluar masuk ke pelabuhan khususnya di waktu malam.

Sebuah rumah api yang kami lawati terletak dalam kawasan Stesen KTMB Tumpat. Rumah api ini dibina daripada batu-bata, berbentuk bulat dan tirus ke atas. Ukuran lilit bahagian bawahnya 37′ 9″ dan tingginya 70 kaki. Tangga dibina di bahagian dalam rumah api ini bagi membolehkan seseorang naik ke atas untuk memasang dan memadam lampu.

Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, rumah api ini dibina sebelum Perang Dunia ke-2 oleh pasukan marin bagi mengawasi perairan Tumpat.

Semasa Perang Dunia Kedua (1941-1945), negeri Kelantan yang pada masa itu terletak di bawah pentadbiran tentera Jepun telah menggunakan rumah api ini untuk mengawasi kawasan perairan dari ancaman musuh dan memudahkan kapal-kapal tenteranya membuat rondaan di laut.

Lama dan Baru, Berganding Bahu
Ramai dikalangan anak-anak generasi sekarang ni, kalau kita tanya mereka dah besar nanti nak jadi apa, pasti jawapannya kerjaya seperti juruterbang, doktor, peguam, ahli bomba, polis, askar, cikgu dan sebagainya jadi pilihan. Ini adalah watak-watak utama yang sering dicanang di dalam media-media utama serta sering menjadi impian untuk digapai. Namun, kerjaya seperti pemandu lokomotif atau pemandu kereta api jarang-jarang didengar atau diimpikan oleh masyarakat kita di Malaysia.


Saya dan rakan-rakan media berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berada di ‘driver’s cab’ lokomotif dan juga tren ETS ketika mengikuti program ini. Sebagai seorang ‘railway fan’, ianya merupakan suatu pengalaman yang amat berharga kerana dapat menjejakkan kaki secara eksklusif di ‘kawasan larangan’ ini. Terima kasih kepada pihak KTMB atas peluang yang diberikan kepada kami.

Sememangnya amat berat tanggungjawab yang dipikul oleh mereka walaupun ada yang beranggapan mudah pada mata kasar. Ratusan nyawa yang menjadi pertaruhan setiap kali mereka bertugas tak kira siang mahupun malam. Pendek kata, risiko bekerja sebagai seorang pemandu lokomotif adalah sama dengan risiko yang ditanggung oleh seorang juruterbang.
Menurut Kapten Zulfikri Taha, sebagai seorang kapten tren ETS, beliau perlu sentiasa bersiap sedia 24 jam sehari meskipun jadual bertugas telah disusun oleh pihak pengurusan. Mempunyai pengalaman lebih dari 13 tahun sebagai pemandu lokomotif dan 5 tahun sebagai pemandu tren ETS, beliau juga perlu bersiap sedia dari segi fizikal dan mental setiap masa serta mengamalkan pemakanan yang sihat serta rehat yang cukup.

Selain itu, beliau harus sentiasa berwaspada serta memantau keadaan landasan, isyarat, makluman dari krew bertugas serta dari Pusat Kawalan Operasi Tren pada setiap masa. Walaupun dibantu dengan teknologi, namun beliau perlu menggalas tugasan yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi yang tinggi. Untuk rekod, had kelajuan maksimum yang dibenarkan bagi tren ETS adalah 140km/jam.
Tak kenal maka tidak cinta. Penumpang-penumpang bagi laluan Kuala Lipis – Tumpat pasti kenal dua orang pemandu lokomotif ni iaitu Ashaari Abd Latif yang mesra dengan panggilan Abam Beylly dan rakannnya Adi Anuar. Bagi saya yang selalu menggunakan perkhidmatan di laluan ini, mereka berdua ni adalah antara golongan muda yang memilih untuk berkhidmat sebagai pemandu lokomotif.



Memandu lokomotif di laluan ‘single track’ memang banyak cabarannya. Setiap arahan yang diterima perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan penumpang-penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren KTMB. Pada masa yang sama, pemandu lokomotif juga perlu memastikan enjin lokomotif berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak dari berlaku kelewatan akibat masalah teknikal. Menurut beliau, kelajuan sesuatu tren juga adalah bergantung kepada had kelajuan yang dibenarkan. Namun, budibicara serta pengalaman seseorang pemandu itu adalah penting bagi memastikan tren dan penumpang-penumpang selamat sampai ke destinasi.

Terima kasih kepada semua pemandu tren KTMB yang pernah memandu tren-tren yang saya naiki sebelum ini. Bagi yang belum pernah bersua, jangan segan untuk bertegur sapa jika bersua di masa hadapan. Mungkin kita boleh berkongsi pengalaman nanti.
Demikianlah sedikit coretan perkongsian Program Kembara Jajaran KTMB 2020. Memang tidak dinafikan, masih banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh kita kunjungi. Bak kata seorang rakan….”Di Malaysia ni banyak tempat-tempat menarik. Cuma tak ramai yang suka ‘explore’. Bila ada lokasi menarik, orang mula share di media sosial. Ramai la yang akan ke sana….”



Saya juga pernah berkongsi coretan tempat- tempat menarik yang boleh anda lawati ketika berada di Kota Bharu, Tumpat dan juga Tanah Merah.
Jom kita ‘exolore’ & jelajah Kelantan dengan perkhidmatan kereta api KTMB…
#KembaraJajaranKTMB2020 #KJKTMB2020 #TourismMalaysia #Malaysia #Kelantan